Friday 28 October 2011

Pendidikan Seni Visual

Pendidikan Seni Visual menggantikan nama Pendidikan Seni yang terdahulu. Perubahan ini dirasakan lebih sesuai kerana dalam hubungan seni di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak merujuk kepada seni lain seperti seni muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri. 


Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. 


Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


Setelah mengikuti Kurikulum Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah murid boleh:
1. menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan,
2. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif dan menyeronokkan,
3. menajamkan daya persepsi dan imaginasi melalui pancaindera,
4. mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya,
5. mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual.
6. membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat dan selamat,
7. memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disiplin diri dan bertanggungjawab,
8. mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanah air,
9. menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni visual, dan

10. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan yang berfaedah.